Suarabogani.com– Dalam era yang serba digital dan penuh cabaran maklumat, budaya membaca terus menjadi asas penting dalam membina masyarakat berilmu dan berdaya saing. Dengan tema “Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya”, Kementerian Komunikasi hari ini menganjurkan Majlis Perasmian Program Jom Baca Bersama dan melancarkan Pertandingan Video Ulasan Buku 2025 bagi menyemarakkan semula minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Majlis penuh bermakna ini turut diserikan dengan kehadiran para pelajar dari enam buah sekolah yang mewakili generasi pewaris bangsa. Kehadiran mereka menyemarakkan lagi semangat cintakan ilmu, sekali gus menjadi bukti sokongan padu terhadap inisiatif memperkasa amalan membaca di kalangan generasi muda.
Dalam ucapan perasmiannya, wakil kementerian menekankan bahawa membaca tidak seharusnya dilihat sebagai aktiviti masa lapang semata-mata, tetapi sebagai satu keperluan untuk membina minda kritis, celik maklumat, dan berpengetahuan tinggi, terutamanya dalam landskap dunia digital yang pesat berubah.
Perkembangan teknologi hari ini menuntut setiap lapisan masyarakat untuk turut beradaptasi dan menjadi lebih celik digital. Kemahiran ini penting bukan sahaja untuk mengejar kemajuan, malah untuk memastikan maklumat yang diterima adalah sahih, tepat dan berasaskan fakta.
Laporan Bad Bot 2025 yang dibentangkan baru-baru ini membuktikan bahawa dunia digital semakin terdedah kepada ancaman automatik, apabila trafik ‘bot’ mencatatkan 51% daripada keseluruhan trafik web pada tahun 2024 – satu pencapaian yang buat pertama kalinya mengatasi aktiviti manusia dalam tempoh sedekad.
Menanggapi ancaman tersebut, Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil tindakan proaktif dengan menurunkan 10,493 kandungan palsu serta 30,427 kandungan scam sehingga 15 April 2025. Angka ini cukup membuktikan bahawa masyarakat tidak boleh lagi bersikap pasif terhadap sebarang maklumat yang diterima.
Dalam era kecerdasan buatan (AI) dan penyebaran maklumat yang pantas, rakyat perlu lebih bertanggungjawab untuk menyemak dan mengesahkan sesuatu kandungan sebelum menyebarkannya. Membaca dengan teliti dan kritikal mampu menjadi benteng pertama dalam menangkis gelombang berita palsu.
Majlis ini juga menjadi platform penting untuk memupuk minat membaca dalam bentuk lebih moden dan interaktif. Pelancaran Pertandingan Video Ulasan Buku 2025 membuka ruang kreatif kepada generasi muda untuk menzahirkan kefahaman dan ulasan mereka terhadap buku-buku yang dibaca melalui medium visual yang lebih dekat dengan minat semasa.
Syabas diucapkan kepada Pusat Sumber Kementerian Komunikasi, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta perpustakaan agensi-agensi atas kerjasama padu menganjurkan program ini. Semoga usaha ini menjadi pencetus kepada budaya membaca yang lebih kukuh dalam membina masyarakat MADANI yang berilmu, beretika, dan seimbang. ***